Galatia 2:16-17 (AVB) tetapi kita mengetahui bahawa seseorang itu diperbenar bukanlah kerana mengerjakan hukum Taurat tetapi kerana beriman akan Kristus Yesus. Oleh itu, kita pun mempercayai Kristus, supaya kita diperbenar kerana beriman akan Kristus, bukan kerana mengerjakan hukum Taurat. Tiada seorang pun manusia yang diperbenar kerana mengerjakan hukum Taurat. Tetapi, ketika kita berusaha untuk diperbenar melalui Kristus, ternyata kita sendiri didapati berdosa, adakah ini bermakna Kristus hamba kepada dosa? Tidak sekali-kali! Kopivosihan dan selamat beribadah, hari ini kita belajar tentang "Kita diperbenar kerana beriman akan Kristus" Bab 1 surat Galatia berkisar tentang pengalaman Paulus pergi ke Yerusalem membentang Injil yang dikhabarkan kepada bangsa asing (ay.2) selepas empat belas tahun (ay.1) mungkin dikira selepas dia bertaubat, 3 tahun di tanah Arab kemudian berkunjung ke Yerusalem (Gal. 1:17-18). Paulus diterima sebagai rasul oleh beberapa orang iaitu Yakobus, Petrus dan Yohanes (ay.9), tidak pasti rasul yang lain mungkin tidak berada di Yerusalem. Paulus memulakan teologi surat Galatia tentang dibenarkan atau perbenaran, bahawa bukan kerana mengerjakan hukum Taurat tetapi beriman akan Kristus (ay.16). Kita dapat mengagak penerima surat Galatia orang Yahudi dan bukan Yahudi kerana kedua-dua diberi perhatian oleh Paulus. Hari ini gereja juga ada hukum atau peraturan yang perlu ditaati oleh anggota jemaah tetapi itu bukan soal perbenaran tetapi lebih kepada ketertiban untuk memudahkan urusan pengembalaan. Mari kita belajar bahawa kita diperbenar kerana beriman akan Kristus, hukum gereja pula untuk ketertiban bukan soal diperbenar. Ibadah yang sejati ialah beriman akan Kristus. Damai sejahtera di jiwa kita. 🎚️emanuelministry.blogspot.com Kudat Sabah, Malaysia. 9.2.2025.

Comments

Popular Posts